
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Khamis mengumumkan pelantikan Prof Datuk Dr Omar Osman sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) yang baru menggantikan Tan Sri Prof Dzulkifli Abdul Razak yang tamat perkhidmatan pada Selasa lepas.
Pelantikan itu adalah untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa semalam hingga 27 Sept 2014, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pemilihan Omar adalah berasaskan kriteria yang ditetapkan kementerian selain pengalaman akademik serta pentadbirannya sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USM sejak 2007.
Sebelum itu, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Korporat dan Pembangunan Lestari USM selama dua tahun sejak 2005.
Omar, 53, berasal dari Pulau Pinang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ukur Bahan dari Polytechnic of Wales (University of Mid Glamorgan), United Kingdom (UK) selain Ijazah Sarjana Pembinaan Bangunan dan Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Projek dari Herriot-Watt University, UK.
Kementerian Pengajian Tinggi mengucapkan terima kasih kepada Prof Dzulkifli yang membawa banyak perubahan dan meningkatkan imej USM sebagai universiti APEX, sejak menerajui USM pada 1 Dis 2000, kata Mohamed Khaled.
Sementara itu, di GEORGE TOWN, Omar berkata beliau amat berbesar hati dan tidak menyangka dirinya diberi kepercayaan untuk memimpin USM.
"Saya yakin dengan cara USM ditadbir sejak sekian lama iaitu dengan mementingkan kerjasama berpasukan. Amalan itu akan diteruskan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk meneruskan kecemerlangan USM.
"Kepimpinan USM juga akan menyambung kesinambungan hala tuju universiti dengan agenda kelestarian serta transformasi pengajian tinggi," katanya dalam kenyataan USM hari ini.
Omar berkata USM akan meneruskan agenda untuk mencipta nama di persada dunia dengan menggembleng bakat dan potensi dalam kalangan anggota akademik, pentadbir dan para penuntut.
Omar, yang turut mengagumi kecemerlangan Dzulkifli sebagai ikon pemimpin dalam transformasi pengajian tinggi, berkata rekod kerja bekas Naib Canselor itu sukar ditandingi.
"Bagi pihak seluruh warga USM, kami amat berterima kasih di atas perkhidmatan cemerlang beliau dan mengharapkan Tan Sri (Dzulkifli) akan terus memberikan sumbangan kepada universiti dan negara khususnya untuk memastikan program transformasi pengajian tinggi negara akan tercapai," katanya.-29/9/2011
Posts RSS
Twitter
Facebook

0 ulasan:
Post a Comment
untuk yang masih x tahu silih pilih (tanpa nama / anonymous ) atau bolih juga mengunakan (Nama / URL ) untuk URL anda bolih masukkan link fb atau mana2 link yang anda suka atau bolih di abaikan URL cuma masukkan nama dan comment .. Komen anda amat di alu2kan :)